Minggu lepas aku pergilah ke Klinik Kesihatan AU2 disebabkan ada appointment untuk ambil sampel darah. Selalunya pada hari-hari tertentu, kita akan dapat lihat klinik ini selain dari pesakit dan petugas, akan dipenuhi oleh pelajar-pelajar perubatan, terutamanya dari kolej universiti swasta seperti Masterskill, MAHSA dan MSU. hari tersebut merupakan salah satu hari di mana para pelajar ini akan memenuhi ruang yang sudah sememangnya sempit di klinik ini.
Antara tugas mereka ini adalah satu, duduk dalam bilik rawatan, tengok bagaimana doktor merawat pesakit. Lagi satu, mereka ini akan membuat satu temubual pendek dan bersembang dengan pesakit-pesakit yang mengunggu tentang penyakit yang mereka hidap.
Aku perasan ada salah seorang pelajar perempuan bertanyakan sesuatu terhadap pesakit yang duduk di sebelah aku. Sebenarnya sebelum itu dia dah tanya aku tapi disebabkan dia mencari pesakit diabetes, maka temubual tersebut tidak berpanjangan. Pesakit sebelah aku tu takdelah tua dan tak pulak muda, agak-agak dalam umur 40an.
Inilah perbualan mereka yang sempat aku dengar.
Pelajar: "Hello, can you speak English?"
Pesakit: "Saya orang Malaysia, saya cakap Bahasa Malaysia.."
Pelajar: "I'm sorry, I'm not Malaysian. I'm a student from Thailand.."
Pesakit: "..."
Nampak tak apa yang tak kena dengan perbualan di atas? Kalau pesakit tu jawap elok-elok, tiadalah dia kemaluan selepas ini. Inilah yang dikatakan sindrom "Kuda tinggi" atau "High horse syndrome". Sindrom ini selalunya berlaku apabila seseorang itu berasa perasan lebih bagus dari orang lain atas apa pun jua sebabnya.
Pelajar yang tanya dia tu memang lawa dan cute, sekali tengok memang macam gadis cina tempatan. Mungkin juga dia adalah gadis Thailand berketurunan cina. Cara pesakit itu jawab memnag berbau sindiran yang mana amat malulah jika orang Malaysia tidak tahu bercakap Bahasa Malaysia dan memilih untuk bercakap dalam bahasa Inggeris. Aku faham, sentimennya ialah sebahagian rakyat Malaysia berketurunan cina memang mempunyai masalah untuk berkomunikasi dalam bahasa kebangsaan sehinggakan aku percaya insiden di KFC I-City dahulu juga disebabkan oleh masalah komunikasi disebabkan salah seorang daripada yang terlibat tidak memahami bahasa kebangsaan mahupun bahasa Inggeris.
Akan tetapi cuba fikirkan senario ini jika yang bertanya tersebut memang seorang rakyat Malaysia berketurunan cina. Adakah dengan berkata sedemikian, secara automatiknya pelajar tersebut boleh berbahasa Malaysia? Adakah degan bersikap sarkastik akan menyelesaikan masalah komunikasi tersebut?
Ada perkara yang boleh diperkatakan ketika berdebat dalam internet atau dalam forum tetapi nampak bodoh apabila diperkatakan secara berhadapan dengan orang tersebut dan inilah salah satu daripadanya. Jawapan ringkas seperti "Maaf, saya tidak tahu berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris.." adalah lebih sesuai dan mulia berbanding cuba merendahkan pihak lain dengan pandangan kita, tidak kira biarpun pandangan kita itu betul 100% kerana sesuatu perkara itu ada waktu dan tempat yang sesuai untuk diperkatakan.
Lain satu, kalau kita bersekiap rendah diri, aku rasa kita takkan terjebak dengan sindrom sebegini yang suka melihat pihak lain lebih kurang dari kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan